Kalau orang tanya saya, "Mana novel fantasi Melayu?"
Saya akan tunjukkan dia siri Takluk Jagat. Bukan kerana ia novel fantasi dalam bahasa Melayu, tetapi kerana ia novel fantasi yang menyerapkan elemen-elemen dalam mitologi Melayu.
Novel-novel fantasi barat memasukkan elemen mitologi barat. Kita ambil Lord of the Rings (LOTR) sebagai contoh. Nama kaum Elves, Dwarves dan Orcs bukannya dicipta oleh Tolkien. Mereka adalah makhluk-makhluk yang sedia ada dalam mitologi Eropah.
Sebagai editor, saya turut menerima proposal novel fantasi, walaupun dalam bahasa Melayu, masih terikut acuan novel fantasi barat. Masih dibancuh dan diadun dengan makhluk, senjata dan magik dari mitologi barat.
Ini berbeza dengan Takluk Jagat, di mana makhluk-makhluk dalam mitologi Melayu yang ditonjolkan. Tanah Ini (semesta Takluk Jagat, seperti Middle-earth dalam LOTR) didiami oleh tiga kaum utama: Manusia, Bunian dan Sigorong. Bunian, sebagaimana yang kita tahu, adalah kaum yang tinggal di dimensi lain di dalam hutan, orang-orangnya cantik dan kacak, serta tinggal di istana. Walaupun wujud dalam mitologi Melayu, ciri-ciri Bunian ini, sedikit sebanyak sama dengan karakteristik kaum Elves dalam mitologi Barat. Segala mitos berkaitan Bunian, seperti kerjanya menyesatkan orang di hutan, dan menggunakan burung sebagai pemantau, dimuatkan dalam novel ini. Manakala Sigorong, dalam Takluk Jagat, adalah makhluk hitam (bukan sekadar warna, malah sifatnya) yang masuk ke dalam tubuh manusia yang mengamalkan ilmu pendamping. Apabila seekor Sigorong bergabung dengan seorang manusia, kekuatannya menjadi berkali-kali ganda lebih kuat daripada manusia biasa.
Selain makhluk-makhluk mitos, elemen biasa dalam novel fantasi adalah elemen senjata dan magik (sword & sorcery). Jika LOTR menampilkan senjata-senjata barat seperti pedang dan panah, Takluk Jagat pula menonjolkan senjata-senjata Melayu seperti keris dan lembing. Judul siri ini sendiri adalah nama sebilah keris sakti yang menjadi buruan pelbagai pihak. Dan sekiranya LOTR menonjolkan magik ala-barat oleh wizard seperti Gandalf dan Saruman, Takluk Jagat pula mengetengahkan magik-magik Melayu seperti ilmu pendamping, dan jurus-jurus ilmu batin.
Bagi membolehkan jurus-jurus ilmu batin itu berfungsi, pengamalnya perlu membaca mantera tertentu. Dalam Takluk Jagat, mantera-mantera ini ditulis dalam bentuk pantun enam kerat, yang menambahkan keindahan novel fantasi Melayu ini.
Pada asalnya, buku 1 dan 2 dalam siri ini adalah buku pertama dalam trilogi Takluk Jagat. Judul asalnya Bisikan Indera Bumi. Tetapi kerana ia agak tebal (hampir 800 muka surat!), ia diterbitkan sebagai dua buku. Bisikan Indera Bumi kini dipecahkan menjadi Bisikan Ariasha dan Amukan Indera Bumi. Barangkali, dari sebuah trilogi, siri ini akan bertukar menjadi enam buku.
Kisahnya berkisar di Tanah Ini. Ia meliputi wilayah Dasyuria, Sedinggi, dan Dakawa yang didiami Manusia, serta wilayah Dilasri dan Kaswana yang didiami Bunian. Sigorong pula datang dari wilayah Sugalimba. Buku 1 (Bisikan Ariasha) lebih kepada personal quest sang hero memburu pembunuh datuk, yang turut mencuri keris pusakanya. Dalam kembaranya, dia berjumpa Zilastra, dan puteri Bunian (Ariasha) yang turut menyertai misinya. Buku 2 (Amukan Indera Bumi) pula tentang peperangan terbesar di Tanah Ini antara angkatan Dasyuria dan Sedinggi yang dibantu tentera Bunian, menentang angkatan Dakawa yang dibantu bala tentera Sigorong. Kedua-dua buku mengandungi peta Tanah Ini bagi memudahkan pembaca membayangkan laluan kembara watak-wataknya.
Novel ini banyak twist dan sub-plot. Sepanjang kembara heronya, satu demi satu watak baru diperkenalkan, dan di hujung cerita, pembaca pasti terkesima dengan love-hate relationship antara watak-watak itu!
Kewujudan siri Takluk Jagat diharap dapat mengisi lompang novel fantasi bahasa Melayu yang kosong selepas siri Saga Artakusiad oleh Ahmad Patria Abdullah yang pernah menjadi kegilaan pembaca suatu ketika dahulu (malah, sehingga hari ini masih ada kelab peminatnya!).
Seperti Saga Artakusiad, saya percaya, siri Takluk Jagat ini berpotensi menjadi novel fantasi kegilaan pembaca dan diingati sepuluh tahun lagi.
Sunday, June 1, 2008
Takluk Jagat: Fantasi Melayu
Posted by Mat Jan at 4:29 AM 15 comments
Labels: fantasi, fiksyen sains
Subscribe to:
Posts (Atom)