Saturday, November 29, 2008

Transgenesis: Penuh Twist

oleh: John Norafizan

Transgenesis: Bisikan Rimba adalah karya kedua yang dihasilkan oleh penulis Amir Husaini selepas Ombak Senja. Ia diterbitkan oleh PTS Fortuna di bawah genre Fiksyen Sains & Fantasi.

Ia mengisahkan tentang pembunuhan misteri yang berhubung kait dengan eksperimen yang menghasilkan percampuran DNA manusia dan DNA lain (dalam kes ini DNA flora – tumbuhan-tumbuhan).

Transgenesis bermula dengan kisah pembunuhan tauke balak Hwang Chien Ming di sebuah hutan dengan bersaksikan pekerjanya Razilan. Pembunuhan misteri yang dilakukan oleh gadis bermata dan berambut hijau dan seolah-olah punya kuasa misteri telah menggemparkan masyarakat setelah berita itu tersiar di surat khabar Semboyan Nasional. Pada masa yang sama, kehilangan ‘subjek’ eksperimen di institut Trans-DNA tambah merumitkan keadaan. Pencarian oleh ‘orang kuat’ institut, wartawan yang ingin membongkar misteri pembunuhan ini dan keterlibatan beberapa pihak ‘secara halus’ lagi tambah membuatkan novel ini jadi satu pembacaan yang menarik.

Dan misteri demi misteri, sejarah silam yang tidak tersangka membuatkan ia adalah salah satu buku yang wajib berada dalam senarai buku yang harus dibeli pembaca.

Pada aku, Transgenesis adalah karya terbaik Amir Husaini setakat ini. Ombak Senja memang karya yang bagus, tetapi Transgenesis lebih lagi! Dia bijak memainkan plot penceritaan dengan misteri demi misteri yang membuatkan aku, tidak dapat tidak, harus membaca ceritanya sehingga ke muka surat terakhir. Kadang-kadang, bila aku seolah-olah tahu ‘apa yang akan berlaku selepas itu’, dia membuat twist 180 darjah dan membuat telahanku salah sama sekali.

Aku rasa benar-benar bertuah dapat mengenali penulis ini lewat kawad YM dan perbualan telefon. Tetapi perlu aku beritahu dahulu, bukannya kerana aku mengenali penulis ini sebagai teman yang membuatkan aku memberikan review yang amat positif. Bukan. Buku ini memang berhak untuk dipuji. Itulah kenyataannya, sungguh!

Kita memang perlu ramai lagi penulis yang dapat mempelbagaikan genre lain dari cinta agar dunia sastera tanah air tidak menjadi stereotaip dan akhirnya terkubur begitu sahaja. Bila masyarakat asyik dimomokkan dengan novel-novel yang hanya bermain dengan emosi, tanpa membuatkan pembaca terfikir, ia akan membentuk masyarakat yang tidak mahu untuk berfikir. Macam kebanyakan filem Bollywood…

Syabas sekali lagi buat Amir Husaini dan Trangenesisnya!

(Nota: Jangan silap faham, ada juga novel bergenre cinta yang bagus….)

* John Norafizan adalah penulis novel Sempadan Tanpa Seri, Tunjukkan Aku Satu Bintang, Cinderella Cinta (terbitan Creative Enterprise), dan Garis-Garis Deja Vu (Jemari Seni).

Opera Angkasa: A Joyride!

oleh: Fadli al-Akiti

Tahun ini merupakan tahun kebangkitan novel fiksyen sains dan fantasi. Antara yang mendahului adalah novel ini (sebenarnya novel Nuriazam Ismail, Sindrom VX mendahului buat terbitan PTS, selepas dua novel anugerah Dr. Zaki, novel Rahmat Haroun Fitrah Kimiawi dan novel kontreversi Kombat Faisal Tehrani) yang terbit hujung tahun lepas.

Opera Angkasa baik dijadikan novel 'suam-suam kuku' para pembaca yang baharu mula mengenal novel fiksyen sains, kerana elemen Opera Angkasa lebih sai-fai (walaupun beberapa perkara dalam novel ini menghunus kepada sains, latar luasnya bersignifikan pada advencer, bermakna, jika dibuang elemen-elemen sejarah dan fungsi teknologi angkasa, cerita advencer ini boleh sahaja dimuatkan dalam mana-mana latar alam, baik fantasi atau realiti. Pun begitu, pembaca akan terkejut dengan 'sejarah alternatif' masa hadapan serta budaya dan bahasa yang dicipta dalam novel ini, yang merupakan kekuatan 'tambahan' dalam menghidupkan latar dan ruang mileu cerita, geh!) dan menggunakan bahasa yang senang difahami. Paling penting, novel ini sangat menghiburkan, dari awal hingga ke akhir. Selepas habis sahaja membaca novel ini, saya memberi satu kredit pengalaman terhadap novel ini: "It's a joyride!"

Novel kedua Nazri ini sememangnya penuh dengan keseronokan, sangat sesuai dibaca oleh pelbagai usia. Ya, Nazri menunjukkan satu cara bagaimana novel yang kebiasaannya diiktiraf khas buat kanak-kanak juga akan 'menghiburkan' para dewasa yang mahu mencari bulan-bulan dan planet-planet. Beginilah novel kanak-kanak/remaja yang sepatutnya ditulis, boleh dibaca oleh kedua-dua golongan, seperti novel Harry Potter. Apa yang menjadi resepi berjaya Nazri ialah menjalinkan mekanisme keterujaan menggerak cerita dan daya tarikan pada setiap pergerakan aksi dan wataknya, suatu kebiasaan yang dibuat oleh penulis kanak-kanak Inggeris dalam 'menggerakkan' keseronokan pembaca muda.

Kuasa kedua Nazri terletak dalam melakarkan watak-watak yang warna-warni, walaupun karikatur tetapi memberi pendapat bahawa pembaca harus merasa 'terikat' akan watak-watak ini. Membuat kita 'sayang' dan senang mengiktiraf keberadaan watak. Kuasa sebegini ada dalam tulisan Charles Dickens dalam menggambarkan perwatakan, sifat, dan aksi sebuah watak dalam novelnya. Kita sedar, Nazri di sini lebih mengeksplotasi plot dan watak yang (nyaris saduran) dekat menghomaj Firefly, drama siri advencer koboi Joss Whedon. Tetapi dengan dialog-dialog mencuit hati (walaupun buat pembaca yang serius) yang diguna oleh Nazri, budaya dalam lingkungan cerita (lebih-lebih lagi Bumi Baharu dan madrasah Tuan Guru, Faridah Hanom) serta ketentuan Nazri yang pasti terhadap lukisan watak-wataknya yang terjaga teliti kesinambungan psikologi, sejarah dan pilihan mereka, novel ini sememangnya patut dijadikan filem sahaja kerana keberkesannya dalam setiap konflik dan aksi.

Walaupun tampak menghiburkan, novel ini tetap mempunyai semangat yang sarwajagat, lebih-lebih lagi tentang manusianya. Nazri mementingkan kemanusiaan dan sifat optimisme dalam moral manusia (secara moral, manusia akan memilih jalan yang baik walaupun ketidaksedarannya mengatakan yang sebaliknya). Nazri melakar satu semangat biasa yang perlu dipupuk buat kanak-kanak, bahawa kemanusiaan dan kasih-sayang sesama manusia sentiasa wujud dan bergerak dalam pelbagai zaman, ia tidak pernah berubah. Dari seorang individu sehinggalah sebuah kumpulan. Watak-watak Nazri pasti dengan ketentuan hidup, bersemangat menghadapinya, walaupun pada masa-masa susah. Memaparkan romantisme Nazri kuat, sekuat mana-mana idealis yang positif terhadap kewujudan dan ketentuan manusia. Ini dipaparkan secara tersirat dalam hati Arman yang menghafal sajak Siti Zaleha Hashim tentang bulan, menggambarkan 'bulan' itu dekat di dalam hati dan fikirannya (kita boleh pergi ke mana-mana jika kita mempunyai imaginasi, iman dan tekad yang kuat) walaupun ia jauh di mata. Kuasa romantisme ini kuat dalam novel ini, tetapi tidak digambarkan dengan terlalu atau merosakkan jalan cerita.

Nazri juga permainkan elemen yang biasa dibikin oleh para sasterawan sekarang iaitu Occidentalisme serta intertekstualiti (atau homaj) terhadap karya 'klasik'. Mungkin garapan yang dibuat oleh Nazri lebih dianggap main-main, tetapi ia wajar dan kena terhadap fungsi cerita. Persoalan 'Melaka mengalahkan Portugis', Bahasa Melayu menjadi lingua franca sarwajagat, matawang RM dalam urusan jual beli angkasa raya dan pelbagai perkara lain lagi, secara tersiratnya mempunyai sindiran pasca kolonial yang lembut, meletakkan sepatu para dijajah kepada sepatu si penjajah (adakah dengan kita menjajah, merubah persepsi kita terhadap yang dijajah?). Tetapi elemen ini pun (dengan logiknya) dibohongi dengan lapisan yang kuat dengan kemunculan 'kuasa penjajah' dari luar yang lebih kuat daripada orang bumi, menjadikan pernyataan sindir ini kepada satu yang melangkau 'mockery' tetapi pembuakan perjalanan sejarah yang bergerak dengan ketidakketentuan yang lebih nyata (bahawa sejarah ini tidak nyata sifatnya, kitarannya tidak sama, elemen kegemilangannya berubah; walaupun secara saintifik, teori kuasa itu masih sama). Misteri kompleks ini tentang alam kosmo ciptaan Nazri dicipta dengan teliti dan empati.

Opera Angkasa sebuah karya yang tidak akan merugikan, baik kepada pembaca yang hanya mahu membaca suatu hasil hiburan kerana gaya "page turner"nya, juga kepada pembaca yang ingin mencari satu kelainan dalam sastera. Ia sebuah "joyride" buat kedua-duanya.

* Fadli al-Akiti adalah penulis novel fiksyen sains Jian (terbitan DBP) dan Saga Horizon (Alaf 21)