Saturday, November 29, 2008

Transgenesis: Penuh Twist

oleh: John Norafizan

Transgenesis: Bisikan Rimba adalah karya kedua yang dihasilkan oleh penulis Amir Husaini selepas Ombak Senja. Ia diterbitkan oleh PTS Fortuna di bawah genre Fiksyen Sains & Fantasi.

Ia mengisahkan tentang pembunuhan misteri yang berhubung kait dengan eksperimen yang menghasilkan percampuran DNA manusia dan DNA lain (dalam kes ini DNA flora – tumbuhan-tumbuhan).

Transgenesis bermula dengan kisah pembunuhan tauke balak Hwang Chien Ming di sebuah hutan dengan bersaksikan pekerjanya Razilan. Pembunuhan misteri yang dilakukan oleh gadis bermata dan berambut hijau dan seolah-olah punya kuasa misteri telah menggemparkan masyarakat setelah berita itu tersiar di surat khabar Semboyan Nasional. Pada masa yang sama, kehilangan ‘subjek’ eksperimen di institut Trans-DNA tambah merumitkan keadaan. Pencarian oleh ‘orang kuat’ institut, wartawan yang ingin membongkar misteri pembunuhan ini dan keterlibatan beberapa pihak ‘secara halus’ lagi tambah membuatkan novel ini jadi satu pembacaan yang menarik.

Dan misteri demi misteri, sejarah silam yang tidak tersangka membuatkan ia adalah salah satu buku yang wajib berada dalam senarai buku yang harus dibeli pembaca.

Pada aku, Transgenesis adalah karya terbaik Amir Husaini setakat ini. Ombak Senja memang karya yang bagus, tetapi Transgenesis lebih lagi! Dia bijak memainkan plot penceritaan dengan misteri demi misteri yang membuatkan aku, tidak dapat tidak, harus membaca ceritanya sehingga ke muka surat terakhir. Kadang-kadang, bila aku seolah-olah tahu ‘apa yang akan berlaku selepas itu’, dia membuat twist 180 darjah dan membuat telahanku salah sama sekali.

Aku rasa benar-benar bertuah dapat mengenali penulis ini lewat kawad YM dan perbualan telefon. Tetapi perlu aku beritahu dahulu, bukannya kerana aku mengenali penulis ini sebagai teman yang membuatkan aku memberikan review yang amat positif. Bukan. Buku ini memang berhak untuk dipuji. Itulah kenyataannya, sungguh!

Kita memang perlu ramai lagi penulis yang dapat mempelbagaikan genre lain dari cinta agar dunia sastera tanah air tidak menjadi stereotaip dan akhirnya terkubur begitu sahaja. Bila masyarakat asyik dimomokkan dengan novel-novel yang hanya bermain dengan emosi, tanpa membuatkan pembaca terfikir, ia akan membentuk masyarakat yang tidak mahu untuk berfikir. Macam kebanyakan filem Bollywood…

Syabas sekali lagi buat Amir Husaini dan Trangenesisnya!

(Nota: Jangan silap faham, ada juga novel bergenre cinta yang bagus….)

* John Norafizan adalah penulis novel Sempadan Tanpa Seri, Tunjukkan Aku Satu Bintang, Cinderella Cinta (terbitan Creative Enterprise), dan Garis-Garis Deja Vu (Jemari Seni).

5 Comments:

Anonymous said...

Lamanya tak update.

Anonymous said...

tau x pa. Banyak buku sai-fai keluar tapi x update. Busy la tu

Obi Wan Kenobi said...

Helo bro, jom join blog bola saye ni di http://fantasifutbol.blogspot.com

BuDakHutaN said...

wah..belum jumpa di mana2 kedai di Negeri Sabah di bawah bayu ni... aku menanti transgenesis

~@sadi~ said...

saya seorang pembaca buku english sci-fi fantasy cuba berjinak untuk membaca buku melayu (i am a mixed breed, trying to improve my malay) dan transgenesis boleh dikatogeri satu buku yang baik. saya setuju dengan penulis blog. idea boleh dianggap original, setiap watak dikembangkan dengan baik, ending tak tergantung tetapi berpotensi utk sekuel tapi satu saja, bahagian genetik terlalu descriptive pada saya (i am working on algal molecular biology, found out that part was quite boring, draggy and repetitive). overall: 3 1/2 out of 5 stars. :)